Sembelit lazimnya terjadi di kalangan kanak-kanak pra sekolah yang berusia sekitar dua hingga enam tahun. Ia mungkin tidak berbahaya berbanding penyakit kronik lain. Walau bagaimanapun, ibu bapa tidak wajar alpa. Kehadiran sembelit boleh membawa petanda lain.

Umumnya sembelit merupakan fenomena sukar membuang air besar lantaran najis yang terhasil keras dan kering. Pada masa yang sama, dia tidak lagi kerap membuang air besar seperti selalu. Malah, ada juga penghidap sembelit yang berdarah duburnya. Keadaan ini boleh berlaku seandainya pesakit lewat menerima rawatan.

Menurut seorang Pakar Perunding Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, kebanyakan penghidap sembelit tidak mengalami masalah yang serius. Meskipun begitu, ujian perubatan lanjut perlu segera dilakukan terutama jika dia mengalaminya pada awal usia kanak-kanak.

“Kebanyakan kanak-kanak menghidap sembelit disebabkan pemakanan. Ini dipanggil ‘functional’. Bila kurang mengambil makanan berserat seperti buah dan sayur serta tidak minum banyak air, pergerakan usus boleh terganggu. Serat membolehkan pergerakan usus lancar. Jadi, pergerakannya yang lambat menyebabkan najis akan terkumpul,” hurai beliau lanjut.

Selain itu, ada juga kanak-kanak yang mengalami sembelit disebabkan masalah usus. Misalnya penyakit ‘hirschprung’ yang boleh mengakibatkan pesakitnya sukar membuang air besar. Lazimnya pesakit ini menyerang bayi. Berbanding bayi perempuan, ‘hirschprung’ lebih kerap dialami bayi lelaki khususnya yang menghidap ‘down syndrome’. Keadaan ini berpunca daripada sebahagia pensarafan ususnya yang tidak sempura. Bagi kes sebegini, doktor akan mengambil sedikit contoh usus pesakit untuk kajian lanjut. Tambahnya, lebih awal sembelit terjadi, kebarangkalian untuk mengalami masalah usus menjadi lebih tinggi.

“Sembelit juga boleh berlaku kerana masalah usus tersumbat. Ada bahagian usus yang sempit. Ini kongenital. Maksudnya dia memang ada masalah tersebut sejak lahir. Kalau jadi macam ini, kita kena buat pembedahan,” ujar Pakar tersebut.

Jelas beliau lagi, pembedahan perlu dijalankan bagi kes sembelit yang melibatkan masalah usus. Antaranya seperti dubur sempit, tersekat atau langsung tiada lubang.

Walau bagaimanapun beliau turut mengingatkan bahawa sembelit bukan hanya sekadar suatu penyakit semata-mata. Ibu bapa harus berwaspada kerana ada kalanya sembelit boleh menjadi symptom kepada penyakit lain. Sembelit mungkin petanda kepada masalah tulang belakang dan ‘cerebral palsy’ iaitu penyakit yang melibatkan saraf.

NAJIS TERKUMPUL PADA USUS
Sembelit berlaku ekoran kegagalan saraf berhubung dengan bahagian usus. Kanak-kanak yang menghidap sembelit mengalami sakit perut kerana najis terkumpul pada usus. Lebih berbahaya lagi apabila masalah sembelit ini berupaya mengakibatkan komplikasi lain seperti jangkitan air kencing.

“Penghidap sembelit mempunyai segmen usus yang mengandungi najis keras. Jadi, segmen imi akan menekan saluran air kencing dan mengganggu pengaliran air kencing. Ini boleh menyebabkan terjadinya jangkitan air kencing,” beritahu beliau.

Pengumpulan najis yang begitu lama juga membuatkan bahagian usus membengkak. Lazimnya, kesukaran membuang air besar menyebabkan kanak-kanak kerap meneran. Natijahnya, bahagian luar dubur terluka. Bagi kanak-kanak yang mengalami sembelit yang teruk, pendarahan boleh berlaku.

Pakar perubatan akan meninjau sejarah pesakit terlebih dahulu sebelum mengesahkan sama ada dia menghidap sembelit ataupun sebaliknya. Pemeriksaan pada perut turut dilakukan untuk mengenal pasti kehadiran ketulan najis. Pada masa yang sama, doktor juga akan meninjau sekiranya terdapat faktor penyebab sembelit yang lain. Ini termasuk pesarafan dubur kanak-kanak. Kemudian pemeriksaan lanjut menerusi x-ray abdomen akan dilakukan.

PERLU  MASA UNTUK PULIH
Sembelit akibat masalah pemakanan biasanya tidak kekal lama. Walau bagaimanapun, pesakit masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dan tempoh rawatan tersebut mengambil tempoh yang agak panjang. Bagi sembelit yang disebabkan faktor ‘functional’, pesakit hendaklah mengubah suai dietnya. Selain itu, dia juga perlu mengambil ubat untuk melembutkan kembali najis.

“ Kita juga boleh buat ‘evacuation’ (penyingkiran) najis. Selalunya najis terkumpul pada rectum iaitu bahagian yang paling hamper dengan luar dubur. Ataupun kita boleh keluarkan najis secara manual,” terangnya lanjut.

Lazimnya doktor akan memberikan ubat makan ataupun sejenis ubat lain yang perlu dimasukkan melalui dubur. Penentuan jenis ubat ini bergantung kepada keadaan pesakit dan peringkat sembelit yang dialami. Adakalanya doktor akan memberikan kedua-dua jenis ubat tersebut kepada pesakit. Tambah beliau, ubat yang dimasukkan melalui dubur memberi kesan lebih cepat. Ada kalanya pengawasan terhadap pesakit perlu dilakukan sehingga enam bulan.

Bagi kanak-kanak yang menghidap sembelit akibat masalah pemakanan, beliau amat mengalu-alukan agar dia dirujukkan kepada pakar makanan. Jelasnya, dengan cara ini gaya pemakanan menjadi lebih baik. Pada masa yang sama, pengambilan serat juga dapat ditingkatkan. Pakar turut menambah, kanak-kanak sembelit boleh mengalami kesan psikologi. Antaranya termasuklah kurang keyakinan diri. Walau bagaimanapun, kaedah rawatan ‘modification behaviour’ dapat membantu memulihkan kanak-kanak ini.

Lakukan perkongsian artikel ini bagi kenalan anda juga mendapat manfaat.Sila klik butang “share” dibawah.

12,898 total views, 2 views today