Meskipun masih kecil, kanak-kanak juga berhak untuk bersedih. Apatah lagi jika ada antara orang kesayangan dan rapat dengannya meninggal dunia. Berikut merupakan tips untuk ibu bapa atau mereka yang mahu membantu bagi mengatasi kesedihan kanak-kanak.

1. Jelaskan kepada anak
Bukan mudah untuk kanak-kanak memahami konsep kematian. Pada usianya yang setahun jagung, dia cenderung untuk membayangkan kematian berdasarkan perspektifnya sendiri. Lantaran itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, anda perlu menerangkan kepadanya dengan ringkas dan mudah mengiku kesesuaian usianya.

2. Fahami anak
Sebagaimana orang dewasa, kanak-kanak turut bersedih apabila kehilangan insan tersayang. Kesedihan ini bukan hanya pada emosi. Malah, ia terpamer menerusi tingkah laku, fizikal dan rohaninya.Cubalah fahami situasinya dan berikanlah bantuan kepada anak anda. Bersabarlah dengan segala tindakbalas emosi dari anak-anak ini.Kawalan emosi mereka tidak sama dengan anda yang telah berpengalaman dan jauh berpendidikan.

3. Jujur dan berterus-terang
Anda perlu bersikap jujur dan berterus-terang dengan anak. Cubalah anda selidik apa yang dia ingin tahu, apa yang boleh difahaminya dan apa yang dia sedia maklum tentang kematian. Dapatkanlah buku ataupun video sebagai bahan bantuan bagi menerangkan hal tersebut kepada anak. Jika perlu dapatkan nasihat pihak ketiga untuk atasi emosi anak-anak ini.

4. Beri dia peluang menziarah
Bawalah anak anda menziarah kawasan perkuburan. Walau bagaimanapun, usah biarkan dia datang ke sana bersendirian. Selain menemaninya, anda juga boleh membantu menenangkan perasaanya. Sebelum mengunjungi kawasan perkuburan, jelaskan terlebih dahulu kepadanya tentang suasana persekitaran yang bakal dilihatnya.

5. Anak perlukan sokongan
Kanak-kanak memerlukan sokongan dan pemahaman. Apabila dia kehilangan orang yang disayanginya, anda dan anggota keluarga yang lain perlu memberi sokongan moral kepadanya. Berbincanglah dengannya secara baik. Selain itu, anda juga boleh membawa dia menyertai sesi kaunseling.

13,098 total views, 2 views today