Jojoba atau nama botaninya simmondsia sinensis bukanlah satu bahan asing dalam penghasilan produk-produk penjagaan kulit  dan kecantikan seperti sabun kecantikan, syampu dan kosmetik kecantikan. Walaupun jojoba terutama minyaknya amat popular kini, namun begitu masyarakat pribumi barat daya amerika telah terlebih dahulu menggunakan tumbuhan ini dalam kehidupan mereka.

Jojoba tergolong dalam keluarga Simmondsiaceae. la merupakan tanaman semula jadi di kawasan gurun Arizona, barat laut Mexico dan utara California. Jadi, tidak hairanlah jika jojoba bukanlah tumbuhan asing dalam kehidupan penduduk Amerika terutamanya masyarakat pribumi di sana.

Pokok jojoba adalah pohon renek yang tidak memerlukan kelembapan yang banyak atau air untuk hidup. Sistem akarnya yang jauh ke dalam tanah dan daunnya yang tebal membolehkan pokoknya menyerap cahaya matahari yang minimum. Pokoknya boleh tumbuh sehingga enam kaki tinggi dan hidup dalam jangka masa yang lama. Walaupun begitu, pembesarannya adalah perlahan dan lambat untuk mencapai kematangan. Pokok Jojoba terdiri daripada jantina jantan dan betina. Tetapi hanya pokok jojoba betina sahaja yang berupaya menghasilkan biji. Namun keadaan ini tidak akan berlaku sehinggalah pokoknya berusia lima tahun. Bentuk biji-biji jojoba menyerupai biji-biji kopi.

Pokok jojoba ditanam untuk tujuan mendapatkan bijinya. Biji jojoba amat penting. Ini kerana, minyak jojoba dihasilkan daripada biji-bijinya. Disebabkan masyarakat pribumi Amerika sentiasa berada di kawasan gurun yang panas, dikatakan masyarakat pribumi ini telah menggunakan minyak jojoba untuk melindungi kulit dan rambut mereka daripada kepanasan matahari. Minyak daripada biji jojoba juga turut digunakan untuk merawat masalah kesihatan biasa, keradangan dan kulit terbakar. Bijinya juga turut dikunyah dan dimakan sebagai makanan tambahan. Kegunaan lain biji jojoba termasuklah sebagai ubatan terutamanya untuk merawat selesema, sakit tekak dan masalah perut tidak hadam. Selain itu biji jojoba juga turut dibuat minuman kopi.

biji

Tips kecantikan : Pelindung kulit

Bagi menghasilkan minyak jojoba, biji-bijinya perlu dihancurkan terlebih dahulu. Minyak jojoba biasanya digunakan sebagai aromaterapi untuk minyak pati, walaupun ia mempunyai kandungan terapeutiknya yang tersendiri. Minyak jojoba juga tahan lama dan perubahan kimia hanya sedikit sahaja walaupun dalam cuaca panas atau sejuk.

Minyak jojoba mengandungi pelbagai zat penting. Ini termasuklah vitamin E, vitamin B kompleks dan silikon mineral, kromium, tembaga dan zink. la juga banyak mengandungi iodin. Kandungan iodin ini jugalah membuatkan jojoba mempunyai kelebihan untuk menentang jangkitan bakteria dan kulat.

Memang banyak khasiat dan kebaikan minyak jojoba. Minyak jojoba dikatakan mampu merangsang penyembuhan kulit di dalam pelbagai cara penjagaan kecantikan. Minyaknya dikatakan mengandungi bahan antimikrob. Ini bermakna, secara tidak langsung ia tidak menggalakkan pembesaran beberapa jenis bakteria dan kulat yang menyerang kulit. Selain itu, komposisi kimia dalam jojoba hampir menyerupai sebum semula jadi kulit.Maka ia mudah menyerap dan jarang sekali menyebabkan reaksi alahan walaupun pada mereka yang mempunyai kulit amat sensitif.

Minyak jojoba mengandungi sebatian cecair, menyerupai lilin. Sebum semula jadi tubuh juga mengandungi sebatian cecair lilin yang bertindak sebagai pelembap semula jadi dan menjadi pelindung di sekeliling kulit. Namun begitu, penghasilan sebatian cecair ini berkurangan seiring dengan peningkatan usia sekali gus menjadi penyebab kulit menjadi kusam dan mula berkedut.

Pengurangan kandungan sebatian cecair lilin dalam kulit juga turut menyebabkan pembentukan masalah seperti psor kelemumur dan rosacea. Oleh itu penggunaan minyak jojoba untuk disapukan pada kulit dikatakan boleh mengurankan masalah kulit kusam dan berkedut. Minyak jojoba berupaya melindungi kulit daripada menjadi terlalu berminyak. Minyak ini dikatakan mampu merawat akne dengan cara mengurangkan penghasilan sebum dan melindungi kulit daripada bakteria berbahaya.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kebaikan minyak jojoba, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat pengamal perubatan bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

19,029 total views, 2 views today