digitalungu

Dalam kehidupan seharian, berapa kalikah anda mengucapkan perkataan ‘sayang’, ‘cinta’ dan ‘terima kasih’ kepada isteri anda? Pernahkah sebaik sahaja pulang ke rumah dan menerima segelas minuman daripada isteri, anda mengucapkan ‘terima kasih’ sebagai tanda ‘penghargaan’ kepadanya yang telah bersusah payah menyediakan minuman ataupun sebelum melangkah keluar ke pejabat, anda memeluk dan mencium pipi dan dahinya sambil berkata ‘I love you’ atau melemparkan senyuman?.

Walaupun ia sukar bagi lelaki untuk menuturkan kata-kata tersebut namun itulah sebenarnya yang didambakan seorang isteri. Tidak semestinya dengan wang ringgit yang melimpah ruah, sebaliknya dengan kata-kata penghargaan dan perbuatan kasih sayang melalui fizikal  dari seorang suami itu amat berkesan untuk meningkatkan kualiti rumahtangga. Tetapi sayang, tidak ramai suami yang melakukannya sehingga si isteri tertanya-tanya sejauh manakah pentingnya mereka di sisi suami?

Beberapa tip yang disediakan ini mungkin dapat membantu para suami untuk menunjukkan penghargaannya kepada isteri demi memastikan sepanjang perjalanan perkahwinan berasa indah dan menyegarkan.

Kata-kata penghargaan
Setiap isteri menginginkan penghargaan dari apa yang dilakukan. Sebagai suami, cubalah beri pujian kepada isteri, misalnya ‘sedapnya masakan isteri abang ni” sebaik sahaja anda selesai menikmati hidangan yang disajikan isteri ataupun kebetulan isteri anda sedang memasak di dapur, pujilah dengan kata-kata “enaknya bau masakan isteri abang”.

Kata-kata pujian begini sememangnya dinanti-nantikan oleh seorang isteri. Cubalah lakukannya setiap hari. Begitu juga dengan hari-hari penting seperti ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya, sebagai suami anda perlu mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan kepada isteri.

Suami rumah tangga
Tidak salah sekiranya anda membantu isteri dengan melakukan aktiviti rumah tangga seperti menjaga anak, membantu mencuci pinggan mangkuk, menjemur baju dan sebagainya. Anggaplah aktiviti sebegini sebagai cara untuk berlibur di rumah. Jika suatu ketika dahulu, peranan suami adalah mencari nafkah di luar rumah tetapi kini isteri juga turut bertanggunggjawab membantu suami mencari nafkah. Justeru kedua-duanya harus bekerjasama dalam mengurus rumah.

Memahami perubahan isteri
Mood wanita memang mudah berubah. Ada kalanya wanita mudah tersenyum dan dalam waktu tertentu bertukar sedih. Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan aliran darah wanita membawa 20 peratus sel-sel darah merah berbanding lelaki. Oleh kerana darah merah adalah pembawa oksigen ke seluruh tubuh, justeru kurangnya oksigen dalam tubuh wanita membuatkan mereka lebih dipengaruhi perasaan. Tambahan pula, ketika kedatangan haid.

Justeru sebagai suami, anda harus bersedia menerima perubahan tersebut dan belajar memahaminya. Jangan mudah marah sebaliknya anda perlu bijak melayaninya. Berikan lebih perhatian dan belai dirinya dengan penuh kasih sayang.

Sayang dan cinta
Jika sebelum menikah, suami sering mengucapkan perkataan “aku cinta pada mu”, tapi malangnya selepas menikah, ungakapan tersebut tidak lagi kedengaran. Keadaan ini pastinya membuatkan isteri beranggapan suami sudah tidak lagi meyayanginya.

Untuk mengekalkan kasih sayang, tidak salah sekiranya anda menyebut selalu perkataan “aku cinta pada mu”. Sekiranya sukar untuk menuturkan kata-kata tersebut, anda boleh menulisnya dalam satu kertas. Tulislah perkataan ‘cinta’ di atas kertas dan letakkan di sebelah bantal isteri atau di bawah piring di mana isteri biasa duduk waktu makan, ataupun di atas meja solek dan juga di tempat-tempat yang boleh dilihat isteri.

Kata “Maaf”
Hubungan seks bagi isteri bukan sekadar sentuhan fizikal tetapi juga perasaan.

Jika suami masih mampu menjalinkan hubungan seks meskipun selepas bertengkar namun berlainan bagi si isteri. Apabila perasaannya disakiti, sukar bagi isteri untuk melakukan seks selagi lukanya belum pulih.

Sebagai suami, jangan biarkan keadaan ini berpanjangan, sebaliknya rayu dan pujuklah isteri dengan jenaka atau pun kata-kata yang menghiburkan.Namun yang paling penting, biasakan ucapkan “kemaafan” dan lakukan dengan segera dan bersungguh.Usah biarkan perasaan marah terpendam lama dihati si isteri. Yang terbaik, selepas solat berjamaah peluklah sepenuh hati sambil mengucapkan kemaafan dan kata-kata pujukan.

10,981 total views, 3 views today